Gunakan browser Mozilla Firefox atau Google Chrome untuk tatapan lengkap

Sabtu, April 23, 2011

Kem Kesihatan - KRT Taman Intan

Klinik Kesihatan Bakar Arang telah mengadakan pemeriksaan kesihatan dan ceramah kesihatan untuk penduduk Taman Intan pada :

   Tarikh :          Sabtu 23 April 2011
   Masa :            8.30 pagi hingga 12.00 tengah hari
   Lokasi :          Dewan Seri Intan, Taman Intan, Sungai Petani

Program tersebut adalah anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Intan dan ia adalah program tahunan yang bertujuan memberikan khidmat pemeriksaan kesihatan kepada masyarakat tempatan secara percuma dan memberi pengetahuan dengan mengadakan ceramah berkaitan.

Satu persembahan senaman dibuat oleh kumpulan Wai Tan Kung Taman Intan. Senaman ini diamalkan oleh kaum Cina dan telah bermula di Taman Intan lebih dari 12 tahun lalu. Kini ianya disertai juga oleh kaum Melayu. Ia diadakan setiap pagi kecuali hari Sabtu.

Selain dari pemeriksaan kesihatan, Klinik Kesihatan Bakar Arang juga telah menyampaikan dua ceramah :
  • Pemakanan Sihat - oleh Dr Nor Azah Binti Mohamad Nawi
  • Makanan untuk pesakit Diabetik - oleh Pegawai Zat Makanan
Disamping itu satu ceramah yang disampaikan oleh Puan Soroja dari Prostanita Sungai Petani bertajuk 'HIV dan Aids'.  PROSTANITA adalah kumpulan NGO dibawah UNICEF dan Kementerian Kesihatan bertujuan memberi pendidikan kepada kaum ibu dan wanita dari kumpulan berpendapatan rendah dengan ilmu dan kemahiran untuk menampung dan menyokong mereka dan anak anak dari HIV dan Aids.

Sambutan untuk program tersebut adalah menggalakkan walaupun ujian pap smear kurang penyertaan. Ini mungkin kerana tempat yang disediakan kurang selesa dan kaum wanita lebih selesa yakin membuat ujian di klinik kesihatan yang jaraknya tidak sampai 1km. Pada sessi ceramah banyak soalan dan pertanyaan yang dikemukakan terutama tentang diet dan penyakit diabetik.




Ahad, April 17, 2011

Konvensyen PPKK kali ke 5, 2011


Konvensyen Panel Penasihat Klinik Kesihatan kali 5, tahun 2011 berlangsung pada 16 ~17 April di Hotel Summit USJ. Tema konvensyen kali ini ialah "Masyarakat Penggerak Transformasi Kesihatan".

Konvensyen yang berlangsung selama dua hari. Seramai hampir 600 orang ahli panel penasihat  dari seluruh negara hadir. Kebanyakkan peserta adalah pengerusi panel penasihat di tempat masing masing. 


Sebanyak 12 pembentangan aktiviti dan projek panel penasihat di buat pada hari pertama iaitu pada 16hb April 2011. Setiap pembentangan diberi masa selama 10 minit dan 5 minit untuk sessi soal jawap. Walaupun tiada pertandingan untuk pembetangan, mutu, kandungan dan penyampaian amatlah berkualiti.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia telah memberikan sumbangan kepada pembentangan dan pameran poster terbaik. Setiap pemenang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000.00.

Majlis perasmian dan penutupan dilakukan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, YB Dato' Seri Liow Tiong Lai pada hari kedua konvensyen Ahad 17 April 2011.
    

      

Ahad, April 10, 2011

Mesyuarat AJK 04/2011

Mesyuarat panel penasihat kali keempat berlangsung pada Ahad 10 April 2011 mulai jam 3.00 petang bertempat di bilik mesyuarat Klinik Kesihatan Bakar Arang.

Sambutan dari ahli panel agak menghampakan sedikit kerana hanya 5 ahli yang hadir dan 6 staf klinik hadir. 

Mesyuarat membincangkan hal hal berikut :

Konvensyen Panel Pereingkat Kebangsaan

Konvensyen Peringkat Kebangsaan akan diadakan pada 16 dan 17 April 2011 di Summit Hotel Subang Jaya. Negeri Kedah diperuntukkan seramai 55 peserta untuk menghadiri konvensyen tersebut dan Daerah Kuala Muda diperuntukkan seramai 7 orang peserta dari jumlah tersebut. Peserta akan bertolak pada awal pagi.

Konvensyen akan bermula pada sebelah petang hingga ke sebelah malam Sabtu 16 April dan akan disambung pada sebelah pagi 17 April. Satu perjumpaan dengan Menteri Kesihatan akan diadakan pada sebelah petangnya.

Wakil Negeri Kedah akan membawa dua usul dan satu usul tambahan :
  • Elaun mesyuarat
  • Penambahan peruntukkan
Usul tambahan oleh Klinik Kesihatan Bakar Arang :
  • Memohon mesin pengimbas untuk pesakit diabetes

Kad Ahli

Kad ahli panel penasihat akan diserahkan kepada wakil negeri pada konvensyen tersebut. Kad tersebut membolehkan ahli mendapat rawatan di kelas 2 di hospital kerajaan.


Pakaian Seragam Ahli Panel

Pakaian untuk ahli panel akan diseragamkan bagi Negeri Kedah. Panel Penasihat Daerah Kulim telah  pun membuat pakaian tersebut dan panel penasihat daerah lain akan membuat menggunakan patern dan warna yang sama jika ianya bersesuaian. Menunggu sampel dari Daerah Kulim.


Akaun Bank

Bendahari yang baru akan membuat tinjauan dengan bank bank untuk membolehkan akaun semasa dibuka diatas nama panel penasihat.


Program Psikososial Remaja

Program yang dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pasir pada tahun lepas masih lagi belum diselesaikan. Panel penasihat mengambil keputusan untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak sekolah untuk tindakan selanjutnya. Lapuran pelajar akan dimajukan kepada pihak sekolah untuk tindakan.

Oleh yang demikian program serupa yang dirancang untuk Sekolah Menengah Tunku Ismail pada pertengahan tahun ini ditangguhkan.


Kem Kesihatan Taman Intan

RT Taman Intan menganjurkan Kem Kesihatan pada Sabtu 23 April 2011.


Tarikh Mesyuarat Panel

Mesyuarat panel penasihat bulanan akan datang telah dipersetujui untuk ditetapkan pada hari Ahad minggu kedua setiap bulan.