Gunakan browser Mozilla Firefox atau Google Chrome untuk tatapan lengkap

Ahad, November 13, 2011

Mesyuarat Panel Penasihat 10/2011

Mesyuarat panel penasihat kali ke 10 diadakan pada Ahad 13 November 2011 mulai jam 3.00 petang di Bilik Mesyuarat Klinik Kesihatan Bakar Arang, Sungai Petani.

Mesyuarat membincangkan :-

1.    Lawatan ke Klinik Kesihatan Nobong Tebal. Pulau Pinang

Lawatan ke klinik Kesihatan Nibong Tebal, Pulau Pinang telah ditetapkan pada hari Khamis 08 Disember 2011. Dua van disediakan untuk pengangkutan dan akan bertolak tepat jam 08.00 pagi dari Klinik Kesihatan Bakar Arang. Keutamaan menyertai lawata diberikan kepada ahli panel dan kakitangan klinik. Sekiranya terdapat kekosongan, ahli panel dari panel kesihatan dalam daerah Kuala Muda akan di pelawa.

Tujuan lawatan ke klinik kesihatan tersebut adalah untuk melihat aktiviti yang dijalankan terutama program 'Footcare' untuk pesakit diabetik.

Pada sebelah petang rombongan akan singgah di pejabat Utusan Malaysia cawangan utara di Seberang Prai. Lawatan ini bertujuan untuk mempelajari sedikit sebanyak proses pembikinan surat khabar tersebut. Peserta akan diberikan taklimat operasi dan akan dibawa melawat disekitar kawasan penerbitan dan pencetakan.

Panel akan membuat pemeriksaan kesihatan kepada kakitangan dan pekerja yang berminat.


2.    Gotong Royong di Klinik Kesihatan Bakar Arang

Gotong royong membersihkan kawasan klinik kesihatan Bakar Arang akan diadakan pada hari Khamis 01 Disember 2011 mulai 0800 pagi. Ia akan melibatkan semua ahli panel penasihat dan juga kakitangan klinik.


3.   Perlantikan

Panel penasihat melantik seorang ahli panel baru iaitu En Azizan Md Isa untuk menggantikan beberapa ahli yang tidak lagi berminat untuk menyertai panel panasihat. En Azizan akan mewakili kawasan Pinang Tunggal.


4.   Latihan

Panel Penasihat peringkat Daerah Kuala Muda akan mengadakan simposium serta latihan untuk ahli panel. Semua ahli panel akan diberikan taklimat dan latihan cara cara melakukan ujian ujian asas seperti pemeriksaan kesihatan.

Diharapkan dengan latihan yang diberikan ahli panel akan dapat melakukan pemeriksaan kesihatan tersebut pada aktiviti yang dijalankan.


5.    Aktiviti 2012

Beberapa aktiviti telah dirancang untuk tahun 2012. Aktiviti tersebut akan dibincangkan pada mesyuarat yang akan datang.


Mesyuarat berikutnya akan diadakan pada 11 Disember 2011
  

Pemeriksaan Kesihatan - Kampung Seberang Tok Soh

Klinik Kesihatan Bakar Arang dijemput untuk memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan kepada penduduk Kampung Seberang Tok Soh, Pinang Tunggal, Sungai Petani pada hari Ahad 13 November 2011 mulai jam 0900 pagi.

Pemeriksaan kesihatan tersebut diadakan sempenan Mini Hari Peladang dan Penternak peringkat unit yang dianjurkan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Unit 18 kampung tersebut. Beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Pertanian, Risda, Pertubuhan Peladang, FAMA, Jabatan Haiwan, TEKUN dan Polis Diraja Malaysia turut mengambil bahagian.

Kebanyakkan pengunjung dan peserta Hari Peladang dan Penternak tersebut mengambil kesempatan melakukan pemeriksaan kesihatan yang disediakan. Diantara pemeriksaan adalah :-
  1. BMI
  2. Tekanan Darah
  3. Kandungan Gula
Ujian 'pep smear' tidak dapat disediakan kerana sebab sebab yang tidak dapat dielakkan. Tarikh lain akan dicadangkan untuk pemeriksaan tersebut.

Dianggarkan hampir 60 orang pengunjung yang terdiri dari penduduk kampung Seberang Tok Soh Pinang Tunggal dan kampung berdekatan mengambil peluang dan kesempatan tersebut. Pemeriksaan kesihatan tersebut dianggap berjaya. Ramai penduduk kampung yang tidak pernah melakukan pemeriksaan kesihatan atau yang sudah lama tidak mendapat perkhidmatan serupa itu mendapat manfaat, apatah lagi perkhidmatan dilakukan ditempat mereka sendiri.

Memandangkan kejayaan tersebut pihak penganjur menyatakan hasrat akan mengadakan perkhidmatan pemeriksaan  kesihatan seperti itu dimasa masa akan datang.